IKLAN

Monday, 22 August 2011

DARI SELAYANG KE SEREMBAN: MASIH ADA YANG SAYANG


Alhamdulillah, pada 17 Ogos 2011 yang lalu, rombongan dari KKSY yang terdiri daripada 5 orang kakitangan dan 35 orang pelajar telah diberi kesempatan untuk menjalankan satu lagi amanah Allah supaya kita semua saling tolong menolong antara satu sama lain, terutamnya kepada insan - insan yang amat memerlukan. Di saat kita semua bergembira dengan kemunculan Syawal yang bakal tiba, mungkin masih ada lagi saudara - saudara kita yang berada di dalam keadaan yang tidak mengizinkan mereka segembira kita lantaran ujian yang didatangkan kepadanya. Tim Program MASIH ADA YANG SAYANG (MAYANG) KKSY telah mengunjungi satu keluarga di Seremban di mana keluarga ini merupakan keluarga salah seorang dari pelajar kolej ini. Keadaan bapa beliau yang berada di atas kerusi roda telah mengingatkan semua ahli rombongan bahawa Allah itu Maha Kuasa dan boleh menurunkan sebarang ujian kepada hamba - hambanya tidak kira masa dan peringkat umur. Kesihatan hamba Allah yang kami kunjungi ini menurun disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapinya, menyebabkan kesan penyakit tersebut sedikit sebanyak membataskan pergerakannya. Begitu juga dengan rutinnya yang banyak bergantung kepada ubat - ubatan serta rawatan susulan. Walaupun bantuan yang dihulurkan tidak sebanyak mana, tetapi diharapkan kunjungan ini memberi sedikit semangat kepada si pesakit dan pada masa yang sama mampu mengingatkan kepada kami semua bahawa kesihatan itu adalah sebesar - besar kurniaan Allah selain dari umur yang panjang dan rezeki yang diberkati. Bantuan keduniaan yang dihulurkan mungkin tidak kekal selamanya, tetapi nasihat dan kata2 pengajaran dari si pesakit (kami panggil beliau sebagai Pakcik) merupakan satu ilmu yang tidak ternilai harganya. Penjagaan kesihatan dan gaya pemakanan yang baik sangat perlu dititik beratkan di kalangan kita terutamanya remaja. Mengapa remaja? Sebab jika penyakit tu datang di waktu usia senja, sangat sukar untuk mengubatinya. Jadi di usia muda ini lah kita semua, terutama para pelajar sendiri mesti pandai memilih makanan yang tidak memudaratkan. Kurangkan makanan dan minuman yang terlalu manis, banyakkan sayur - sayuran dan buah - buahan. Kedatangan bulan ramadhan juga diharap akan dapat membentuk kita semua supaya mengawal pemakanan, berat badan dan ketagihan rokok. Perjalanan pergi yang memakan masa sejam setengah dari kolej itu bagaikan tidak terasa apatah lagi ini mungkin merupakan pengalaman pertama bagi sesetengah pelajar dan staf KKSY menyertai program kemasyarakatan seumpama ini. Setiap masa dalam melaksanakan program ini penuh dengan nilai - nilai murni yang perlu dijadikan pedoman. Adab - adab menziarahi orang sakit, adab - adab menjadi tetamu dan pergaulan sesama sendiri perlu diambil kira. Dalam perjalanan pulang, kami singgah untuk solat Zohor di Nilai, selepas memberi salam, mata ini tertumpu kepada sekumpulan warga Pakistan (pada perkiraan saya) sedang duduk dalam bulatan dan mengelilingi seorang ketua, mungkin sedang memberi tazkirah. Alangkah eloknya kalau ini dapat diamalkan di Surau KKSY, walaupun 5 minit selepas setiap kali solat fardhu, sudah memadai untuk membentuk golongan pelajar dan staf yang bukan sahaja mengejar duniawi tetapi juga mengejar akhirat. Insyallah moga -moga dimakbulkan Allah.










No comments:

Post a Comment